SHAH ALAM, 15 JAN: Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan terhadap bengkel kenderaan yang meletakkan kereta terbiar dan gagal mematuhi keperluan petak parkir khas di sekitar Pandan Indah, Ampang Jaya pada 13 Januari lalu.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan kesalahan melibatkan penggunaan petak letak kenderaan awam tanpa kelulusan.
Dalam pada itu, MPAJ mengingatkan bahawa bermula Ogos 2025, semua bengkel kenderaan, pusat cucian kereta dan kedai aksesori diwajibkan menyewa dua hingga tiga petak parkir khas di hadapan premis masing-masing.
Keperluan itu tertakluk kepada susun atur petak parkir sedia ada di kawasan terlibat.
“Langkah ini bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik, susunan kenderaan yang teratur serta menjaga keselamatan dan kepentingan awam.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan,” menurut MPAJ.
MPAJ turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kesalahan tersebut melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi pihak berkuasa tempatan itu.
Sebarang aduan boleh dikemukakan melalui https://mpaj.spab.gov.my atau dengan menghubungi talian 1-800-22-8100.


