KKM larang penjualan kosmetik Remy Laure mengandungi racun berjadual hidrokuinon

24 Ogos 2026, 10:29 AM
KKM larang penjualan kosmetik Remy Laure mengandungi racun berjadual hidrokuinon

PUTRAJAYA, 24 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi membenarkan penjualan produk kosmetik Remy Laure Soothing Cream yang dikesan mengandungi racun berjadual.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan produk berkenaan didapati mengandungi hidrokuinon, justeru notifikasi kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Produk yang mengandungi bahan ini adalah diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

"Ubat yang mengandungi hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan. Penggunaan tanpa pengawasan yang sesuai boleh menyebabkan kesan sampingan antaranya perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif," menurut KKM.

KKM memaklumkan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurut KKM, orang awam yang sedang menggunakan kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.