SHAH ALAM, 14 JAN: Wanita berdepan detik cemas apabila mendakwa dicabul lelaki menyamar anggota polis sebelum ditumbuk mata kiri dalam kejadian awal pagi kelmarin di Gombak.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi ketika wanita berusia 22 tahun itu menunggu suaminya di dalam kereta yang diletakkan berhampiran sebuah pasar raya.
Menurut mangsa yang enggan dikenali, ketika kejadian dia sedang melelapkan mata sebelum didatangi lelaki menaiki motosikal yang berhenti di sebelah kenderaannya.
“Lelaki itu membuka pintu kereta yang tidak berkunci dan duduk di tempat pemandu. Saya terkejut dan bertanya siapa dia, kemudian dia mendakwa dirinya pegawai polis,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, suspek menutup mulutnya apabila cuba menjerit meminta tolong sebelum mencabulnya secara fizikal.
Dalam kekalutan itu, wanita tersebut sempat menjerit menyebabkan suspek menumbuk mata kirinya lalu melarikan diri dari tempat kejadian.
“Akibat kejadian itu, mata saya bengkak. Saya sudah membuat laporan polis tetapi malangnya lokasi kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan kereta pula tiada dashcam,” katanya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 12.42 tengah hari semalam.
Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur dalam kenderaan yang diparkir di depan pasar raya terbabit.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis masih mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa memastikan pintu kenderaan berkunci dan berwaspada terutama ketika bersendirian di tempat awam.


