KLANG, 14 JAN: Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri dengan jumlah koperasi tertinggi di Malaysia, melibatkan 2,187 koperasi dengan keahlian 648,000 orang tahun lalu.
EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata koperasi di Selangor memiliki aset bernilai RM2.5 bilion dengan anggaran perolehan dan pendapatan mencecah RM653 juta sehingga 30 Jun 2025.
“Namun, Kerajaan Negeri tidak hanya menumpukan kepada kuantiti koperasi, sebaliknya memberi penekanan kepada penstrukturan dan pemerkasaan koperasi supaya ia lebih mampan dan berdaya saing.
“Bukan sekadar mempunyai koperasi yang banyak, kita juga menumpukan pembangunan berteraskan keterjaminan makanan melalui program seperti Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA),” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2025 di Hotel Wyndham Acmar di sini, malam tadi.

Rizam menambah, Kerajaan Negeri juga akan menumpukan kepada pembangunan koperasi berteraskan koperasi peruncitan sekali gus mengukuhkan keterjamaninan makanan, selaras dengan hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Koperasi peruncitan membantu kerajaan dalam mengawal harga barangan serta mengurangkan peranan orang tengah, sekali gus memastikan hasil petani sampai terus kepada pengguna.
“Di negara maju, koperasi digerakkan untuk menstabilkan harga dan menjaga kebajikan pengeluar serta pengguna,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan koperasi Selangor turut mencatat pencapaian di peringkat nasional apabila 12 koperasi negeri itu tersenarai antara yang terbaik di Malaysia.
“Antaranya Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad yang baru-baru ini dinobatkan sebagai koperasi masjid terbaik negara.
“Ini membuktikan kesungguhan gerakan koperasi di Selangor hingga berada pada landasan kukuh,” ujarnya.
Terdahulu, Rizam menyampaikan beberapa anugerah kepada koperasi pada majlis apresiasi tersebut.

Berikut senarai pemenang:
Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Selangor 2025: Koperasi Koswip Malaysia Berhad
Anugerah Koperasi Masjid Terbaik Negeri Selangor 2025: Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad
Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Selangor 2025: Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun Cheras Berhad
Anugerah Peningkatan Kluster Koperasi 2025 Sederhana ke Besar: Koperasi Pengurusan Berpusat Padi Parit Lima Timur Sungai Besar Berhad
Anugerah Peningkatan Kluster Koperasi 2025 Kecil ke Sederhana: Koperasi Aspirasi Berhad
Anugerah Peningkatan Kluster Koperasi 2025 Mikro ke Sederhana: Koperasi Pekema Berhad




