KLANG, 14 JAN: Kerajaan Negeri sedang merangka strategi menyeluruh bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri dengan menempatkan koperasi sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan makanan, kata EXCO Pengguna.
Datuk Rizam Ismail berkata antara inisiatif utama yang dirancang termasuk pembangunan Pusat Pengumpulan Hasil Koperasi, pemerkasaan Koperasi Masjid, pengukuhan Program Jualan Rumpun Selangor (JRS) serta pembangunan Jeti Koperasi dalam tempoh tiga tahun.
“Penglibatan koperasi akan diperluaskan merangkumi sektor pengeluaran makanan, asas tani, perikanan, perladangan, pemborongan dan peruncitan.
“Kita lihat kebanyakan ahli koperasi ini dari sudut pertanian bukan mereka tidak mampu untuk menjadi petani ataupun penternak yang baik. Isu utama mereka ialah pemasaran yang banyak dimonopoli orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2025 di Hotel Wyndham Acmar di sini, malam tadi.
Selain itu, Rizam memaklumkan Jualan Rumpun Selangor (JRS) akan diteruskan menawarkan barangan keperluan asas dan harian dengan diskaun sehingga 30 peratus kepada anggota koperasi dan komuniti setempat usaha menangani kos sara hidup.
“Kita bukan mahu bersaing dengan Jualan Ehsan Rahmah kerana melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, JRS bertujuan membantu meringankan beban komuniti koperasi.
“Selain menawarkan diskaun asas 30 peratus, kita juga menyediakan jualan ‘happy hour’ yang membolehkan pengguna menikmati potongan harga sehingga 40 peratus,” katanya.






