SHAH ALAM, 22 JUN: Pusat pengumpulan hasil tani koperasi Selangor yang bakal beroperasi di Air Manis, Sabak Bernam akan menjadi projek perintis bagi memperkukuh rantaian bekalan produk keluaran usahawan koperasi dan komuniti setempat.
EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Dato’ Rizam Ismail berkata inisiatif itu memanfaatkan kelebihan geografi Sabak Bernam yang terkenal sebagai hab pertanian dan perikanan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Menurutnya, model pembangunan pusat berkenaan akan diteliti secara menyeluruh, termasuk aspek pengumpulan, pengedaran dan pemasaran bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan, berdaya tahan serta kompetitif sebelum diperluaskan ke daerah lain di Selangor.
“Pusat ini dapat mengurangkan manipulasi orang tengah dan membolehkan produk dijual pada harga rendah berikutan akses terus kepada pengguna atau pembeli.
“Dengan sokongan yang betul, kita mampu mengangkat projek rintis ini kepada model pembangunan ekosistem rantaian bekalan koperasi demi meningkatkan tahap ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Rizam berkata projek digerakkan bersama Majlis Perundingan Sabak Bernam itu merupakan usaha pentadbiran dalam meningkatkan keterjaminan dan keselamatan bekalan makanan negeri ini.
Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Gudang Makanan Selangor yang dilancar pada Mac tahun lalu menjadi alternatif dalam memastikan negeri tidak terputuskan bekalan makanan sekiranya berdepan sebarang konflik atau krisis.
Gudang di Pelabuhan Klang itu dijangka mampu menyediakan stok penimbal bagi lima makanan asas menjelang Disember 2026 menerusi peruntukan RM50 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1.
Sasaran bekalan melibatkan penambahan 3,500 tan metrik beras, 1,000 tan metrik ayam, 100 tan metrik daging, 800 tan metrik ikan dan 150 tan metrik minyak masak.






