Pakar sokong ladang khinzir berpusat Bukit Tagar, kurangkan risiko wabak penyakit

23 Jan 2026, 8:06 AM
Pakar sokong ladang khinzir berpusat Bukit Tagar, kurangkan risiko wabak penyakit

SHAH ALAM, 23 JAN: Pakar virologi, Prof Dr Lam Sai Kit menyokong projek ladang ternakan khinzir berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor dan menyatakan ia boleh membantu mengurangkan risiko wabak penyakit haiwan.

Menurut laporan CodeBlue, Malaysia sejak sekian lama menggalakkan peralihan kepada penternakan khinzir moden dan berpusat dengan sistem tertutup, rawatan sisa terkawal serta pemantauan veterinar berpusat, jauh dari kawasan perumahan dan habitat hidupan liar.

Namun, pakar dari Universiti Malaya itu berkata, proses peralihan itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan tidak sama di semua negeri, walaupun Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan kemajuan lebih baik.

Menurut Dr Lam, penternakan khinzir moden dan berpusat lebih teratur serta memudahkan kawalan penyakit, pengurusan alam sekitar dan pemantauan kesihatan ternakan.

Antara kelebihan ladang berpusat ialah kawalan keselamatan bio yang lebih ketat, rawatan sisa yang lebih sistematik, pemantauan veterinar berkala serta keupayaan bertindak pantas sekiranya berlaku wabak.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan ladang khinzir tradisional di Malaysia sebelum ini berskala kecil, menggunakan sistem terbuka dan terletak berhampiran kampung atau kawasan hutan.

“Kaedah ini lebih murah, tetapi meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.

Menurut beliau, sistem terbuka menyebabkan interaksi lebih kerap dengan kelawar dan hidupan liar lain, selain sisa ladang yang tidak dirawat boleh mencemarkan sungai dan air bawah tanah serta menjejaskan komuniti sekitar.

Dr Lam berkata, keadaan ladang yang berselerak dan kurang kawalan pada era 1990-an merupakan antara punca penularan virus Nipah ketika wabak pada 1998 dan 1999.

Katanya, ladang ketika itu sering terletak berhampiran dusun buah-buahan dan habitat kelawar, sekali gus memudahkan penularan virus daripada kelawar kepada khinzir, sebelum merebak ke kawasan lain.

Beliau menegaskan bahawa penternakan khinzir tidak semestinya berisiko sekiranya diurus secara moden dan tertutup.

“Ladang moden yang kalis kelawar dan dipantau secara berterusan boleh mengurangkan risiko ini,” katanya.

Menurut Dr Lam, ladang berpusat seperti di Bukit Tagar membolehkan kawalan lebih ketat termasuk zon pengasingan haiwan, pemeriksaan kesihatan berkala, saringan makmal serta pengesanan ternakan yang lebih sistematik.

Selain itu, katanya, pemusatan ladang juga membantu mengurangkan masalah bau, pencemaran air, kualiti udara serta kawalan perosak seperti lalat dan tikus.

Dr Lam turut menjelaskan bahawa virus Nipah bukan penyakit khinzir, sebaliknya berpunca daripada kelawar, dengan khinzir bertindak sebagai perantara dalam wabak 1999.

Beliau menambah bahawa wabak Nipah yang masih berlaku di Bangladesh tidak melibatkan khinzir, dan setakat ini tiada kemunculan semula virus itu di Malaysia.

Mengenai demam khinzir Afrika (ASF), Dr Lam berkata wabak di Selangor dan Pulau Pinang tahun lalu menunjukkan penyakit itu mudah merebak apabila ladang padat tetapi tidak diselaraskan.

Menurutnya, ladang berpusat lebih mudah dikawal melalui kawalan pergerakan, protokol piawai dan pemantauan bersepadu.

Bagaimanapun, Dr Lam mengakui kos tinggi menjadi cabaran kepada penternak kecil dan sederhana untuk beralih kepada penternakan berpusat.

Beliau mencadangkan sokongan seperti kerjasama awam-swasta, pinjaman faedah rendah dan model koperasi bagi membantu peralihan tersebut.

“Perbincangan dengan semua pihak berkepentingan penting kerana ramai bergantung kepada industri ini sebagai sumber pendapatan,” katanya.