SHAH ALAM, 12 JAN: Sebanyak 49 notis kesalahan dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu operasi pemeriksaan lesen perniagaan dan pemantauan penjaja di sekitar kawasan Selayang 8 Januari lalu.
Operasi bersepadu itu diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Muhammad Noor Salehuddin Kamis melibatkan pelbagai zon serta unit pentadbiran di bawah MPS.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi MPS, operasi turut disertai Unit Operasi, Unit Tunda, Unit Logistik, Unit Atur Cepat, Jabatan Perlesenan MPS serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan ke atas premis perniagaan serta penjaja bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Hasil operasi mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan termasuk perniagaan tanpa kebenaran serta pelanggaran syarat perlesenan.
MPS mengambil tindakan dengan mengeluarkan 49 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dan melaksanakan tiga sitaan terhadap peniaga yang melanggar peraturan.
Langkah itu diambil bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi undang-undang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
MPS juga memberi amaran bahawa operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pematuhan dan menjaga ketenteraman awam.
Pihak berkuasa itu menegaskan komitmen untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur dan selamat kepada komuniti setempat.





