SMUE: Baucar RM150 warga emas DUN Bukit Gasing diagih mulai 20 Januari

12 Jan 2026, 1:41 AM
SMUE: Baucar RM150 warga emas DUN Bukit Gasing diagih mulai 20 Januari
SMUE: Baucar RM150 warga emas DUN Bukit Gasing diagih mulai 20 Januari
SMUE: Baucar RM150 warga emas DUN Bukit Gasing diagih mulai 20 Januari

SHAH ALAM, 12 JAN: Warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing yang lahir antara Januari hingga Mac boleh mengambil baucar hari jadi bernilai RM150 bermula 20 Januari ini.

Wakil rakyatnya, R Rajiv berkata pemberian itu dibuat menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi membantu golongan tersebut menyambut ulang tahun kelahiran dengan lebih bermakna.

“Pemberian dibuat mengikut fasa dan baucar boleh dituntut di Pejabat DUN Bukit Gasing setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang, kecuali Rabu sehingga 7.30 malam,” katanya menerusi Facebook.

Beliau menjelaskan baucar berkenaan juga merangkumi penerima Skim Mesra Insan Selangor (SMIS), khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) yang turut mendapat perhatian.

“Penerima SMUE dan SMIS yang tidak mampu menaiki tangga akan dibantu oleh kakitangan di tingkat bawah untuk mengambil baucar,” katanya lagi.

Rajiv turut mengingatkan semua penerima supaya menggunakan baucar dalam tempoh 90 hari selepas ia diterima.

Tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan kedua-dua skim tersebut bagi memastikan kebajikan golongan warga emas dan OKU terus terbela.

Tahun lalu, Selangor memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan SMUE dan SMIS yang bermula pada 1 Jun, melibatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta OKU.

Skim Mesra Usia Emas sebelum ini turut menawarkan bantuan khairat kematian yang dihentikan pada Mei 2019 dan disambung semula pada 2021.