SHAH ALAM, 11 JAN: Mangsa terakhir yang tersepit dalam sebuah bas ekspres terbabit kemalangan dengan lori tiga tan di Kilometer 1.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Rawang dikeluarkan pasukan bomba jam 8.53 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa lelaki berusia 50-an itu berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit bahagian kakinya.
"Mangsa terakhir itu diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu empat mangsa termasuk pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan bomba dan semuanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian 5.24 pagi itu, 15 mangsa cedera manakala 26 yang lain tidak mengalami kecederaan. Lapan mangsa menerima rawatan di zon hijau hospital berkenaan manakala empat mangsa di zon kuning dan tiga mangsa di zon merah.
Bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat pada jam 6.33 pagi.
Pemandu lori berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.



