SHAH ALAM, 12 JAN: Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 441.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pemandu bas tersebut ditahan semalam sebelum dibawa ke mahkamah hari ini dan diberikan perintah reman selama satu hari.
“Pemandu bas telah ditahan semalam. Hari ini dibawa untuk reman dan mahkamah membenarkan reman selama satu hari. “Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang penumpang bas ekspres disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tiga tan di lebuh raya berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.24 pagi itu, bas ekspres yang membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu bas terbabit dalam nahas dengan lori tiga tan.
Seramai lapan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan lima mangsa termasuk pemandu lori didapati tersepit.
Operasi menyelamat mengambil masa hampir tiga jam apabila pihak bomba berdepan kesukaran mengeluarkan mangsa terakhir akibat struktur pembahagi jalan yang menghimpit kaki mangsa.
Mangsa wanita pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 6.06 pagi, diikuti mangsa lelaki dua minit kemudian manakala mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 8.53 pagi.
Pemandu bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



