SHAH ALAM, 11 JAN: Pengendali baharu Selangor FC, Kim Pan Gon mencipta permulaan sempurna apabila membimbing Gergasi Merah menewaskan DPMM FC 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Selangor yang sebelum ini tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan melalui penyerang sensasi, Chrigor Moraes.
Pemain import itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan tandukan hasil hantaran Nooa Laine pada minit ke-10, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor pada awal perlawanan.
Pasukan tuan rumah merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan Hakeme Yazid pada minit ke-42, namun kelebihan terus memihak Selangor selepas Laine meledak gol ketiga sebaik babak kedua bersambung, lapor Berita Harian.
Momentum cemerlang Selangor diteruskan apabila Moraes melengkapkan hatrik peribadinya pada minit ke-58, menjadikan kedudukan 4-1.
DPMM cuba bangkit dan menjaringkan gol kedua menerusi Miguel Oliveira empat minit kemudian, namun segalanya sudah terlambat buat mereka.
Moraes muncul wira mutlak apabila menjaringkan gol keempat peribadinya dalam masa kecederaan, melengkapkan kemenangan bergaya 5-2 buat skuad kendalian Pan Gon.
Kemenangan itu membolehkan Selangor yang kini menghuni tangga keempat Liga Super mengumpul 28 mata selepas 14 perlawanan, dengan sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.
Sebaliknya, kekalahan tersebut menamatkan rekod kemenangan bersih DPMM dalam empat perlawanan terakhir dan mereka kini berada di kedudukan ketujuh liga dengan 17 mata.
Persembahan Moraes yang cemerlang serta impak segera Pan Gon pastinya meningkatkan semangat Gergasi Merah untuk meneruskan saingan musim ini dengan lebih konsisten.






