Liga Super: Selangor FC tundukkan Penang FC 3-1, kini di tangga kedua

17 Okt 2026, 2:44 PM
Liga Super: Selangor FC tundukkan Penang FC 3-1, kini di tangga kedua

SHAH ALAM, 17 OKT: Selangor FC (SFC) menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini sekali gus merampas tangga kedua Liga Super daripada Kuching City FC (KCFC).

Kemenangan kelima berturut-turut itu menyaksikan SFC mengumpul 15 mata, menyamai kutipan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), tetapi ketinggalan dari segi perbezaan jaringan, lapor BH Online.

Bagaimanapun, KCFC berpeluang merampas semula tangga kedua jika menewaskan DPMM FC dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol pada aksi di tempat lawan, esok.

SFC bermula garang dengan memperoleh dua sepakan sudut dalam tempoh lima minit pertama, sebelum Chrigor Moraes membuka jaringan pada minit ke-11.

Moraes pantas menyambar bola muntah hasil tandukan A Selvan yang ditepis penjaga gol Penang FC, Ramdhan Hamid.

Ramdhan terus menjadi penghalang buat tuan rumah apabila menafikan percubaan Syahir Bashah pada minit ke-22 dan rembatan jarak dekat Quentin Cheng dua minit kemudian.

Bagaimanapun, Moraes sekali lagi meledak gol lima minit selepas babak kedua bermula menerusi tampanan susulan sepakan sudut untuk melebarkan kelebihan SFC.

Penang FC merapatkan jurang menerusi Stefano Brundo pada minit ke-69, sebelum SFC memperoleh sepakan penalti seminit kemudian. Namun, keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Moraes berpeluang melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan, tetapi percubaannya sekadar menggegar tiang gol.

Ahmad Zikri Khalili kemudian memastikan kemenangan SFC apabila menjaringkan gol ketiga untuk mengesahkan keputusan 3-1.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.