Piala FA: Pan gon mahu Selangor FC buktikan kemampuan, bukan sekadar semangat

23 Okt 2026, 4:26 AM
Piala FA: Pan gon mahu Selangor FC buktikan kemampuan, bukan sekadar semangat

SHAH ALAM, 23 OKT: Selangor FC perlu membuktikan kualiti sebenar di atas padang jika mahu memburu slot ke final Piala FA musim ini, dengan ketua jurulatih Kim Pan-gon mengingatkan pemain agar tidak sekadar bergantung kepada semangat dan kerja keras.

Menjelang aksi separuh akhir menentang Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini, Pan-gon menegaskan Gergasi Merah perlu mempamerkan prestasi terbaik selain mengelak kesilapan yang boleh menjejaskan peluang mereka.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Kuching City, yang mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) dan memiliki barisan pemain berkualiti.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon. Foto BERNAMA

“Kami cukup menghormati Kuching City kerana mereka adalah wakil Malaysia ke ACL 2. Kita boleh lihat mereka membawa masuk ramai pemain berkualiti dan kini menjadi pasukan yang kuat.

“Saya fikir ini (layak ke final) yang kami mahukan. Kami ada semangat, namun harus diterjemahkan menerusi tindakan. Kami perlu menyerlahkan kualiti terbaik untuk peminat, elak melakukan kesilapan sama dan bersiap dengan baik untuk menghadapi cabaran akan datang,” katanya seperti dilapor Kosmo! Online.

Misi Selangor turut dibayangi kekecewaan musim lalu apabila mereka tersingkir di separuh akhir selepas tewas kepada Sabah, sekali gus menjadikan pertembungan kali ini peluang untuk memperbaiki pencapaian dalam kejohanan berkenaan.

Rekod kemenangan bersih dalam Liga Super juga tidak boleh dijadikan alasan untuk Gergasi Merah berasa selesa, sebaliknya pemain perlu kekal fokus dan meningkatkan persiapan bagi mengharungi perlawanan berintensiti tinggi.

Pan-gon turut menjadikan kekalahan kepada Star City dalam aksi kedua suku akhir pada 11 Oktober lalu sebagai peringatan agar skuadnya tidak mengulangi kesilapan sama ketika berdepan Kuching City.

“Kami perlu sedar dan bangkit untuk membuat persiapan yang lebih baik bagi peringkat seterusnya. Kami tidak boleh mengulangi perkara sama,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.