SHAH ALAM, 10 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Selangor hingga jam 10 malam ini.
MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan, kawasan terlibat termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
Menurut agensi itu, keadaan sama dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya selain beberapa kawasan di Perak dan Sarawak.
MetMalaysia menegaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila hujan lebat melebihi 20 mm/jam dijangka berlaku hampir atau melebihi satu jam.
Setiap amaran jangka pendek ini hanya sah sehingga enam jam bagi satu keluaran.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga, mengelak berada di kawasan terbuka dan mengambil langkah keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.


