SHAH ALAM, 10 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menyekat sebarang promosi program ‘Glamping with Pride’ yang dikaitkan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Hulu Langat.
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata permintaan itu dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), yang juga memohon Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program berkenaan.
“Pihak polis juga diarah melakukan pemantauan, siasatan dan penguatkuasaan sekiranya berlaku sebarang elemen pelanggaran undang-undang dalam penganjuran program dijangka berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini.
“Pihak polis mempunyai bidang kuasa yang luas untuk mengekang dan menyelesaikan sebarang pelanggaran undang-undang terhadap penganjuran program itu,” katanya kepada Media Selangor.
Semalam, EXCO Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi menegaskan pentadbiran negeri tidak akan berkompromi terhadap program itu dan telah mengarahkan pihak berkaitan menyiasatnya.
Dilaporkan, sebuah kumpulan pro-LGBT menyatakan mereka tetap akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan itu, dikenali sebagai Jejaka, menegaskan program dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti, menumpukan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya dan kesedaran kesihatan.
Mereka turut mendakwa aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara.


