Kerajaan Negeri tidak kompromi, arah siasat program promosi budaya songsang

9 Jan 2026, 3:39 PM
Kerajaan Negeri tidak kompromi, arah siasat program promosi budaya songsang

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan Negeri mengarahkan siasatan dijalankan terhadap penganjuran program Glamping With Pride yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, minggu depan.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, Kerajaan Negeri memandang serius sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai dan sensitiviti masyarakat di negeri ini.

“Saya telah berhubung dengan pihak polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung perkara ini. Kerajaan Negeri tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang mempromosikan budaya songsang.

“Langkah ini penting bagi menjamin akhlak dan moral masyarakat agar mereka tidak terpengaruh dengan unsur yang bercanggah dengan nilai tempatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Penggerak Belia Selangor (PeBS) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan kumpulan terbabit yang dilapor merancang untuk meneruskan program Glamping With Pride, hujung minggu depan meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti.

Menurut maklumat yang dikongsi penganjur, program selama dua hari itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Kumpulan terbabit turut mendakwa program berkenaan melibatkan aktiviti perkhemahan di lokasi berdaftar dan tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia.

Sebelum ini, pihak berkuasa turut digesa oleh pelbagai pihak supaya menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasi ideologi gender.