SHAH ALAM, 11 MAC: Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas didapati bersalah memuat naik komen jelik yang menyinggung sensitiviti Islam berhubung pemergian bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi di Facebook.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan John Mule anak Alai, 48, yang juga pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, dijatuhi hukuman itu selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut agensi itu, tertuduh didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian dengan memuat naik komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain.
“Beliau selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau.
“SKMM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang kandungan yang menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.








