Festival SeeLokal UiTM Shah Alam perkasa usahawan tempatan

10 Jan 2026, 11:00 AM
Festival SeeLokal UiTM Shah Alam perkasa usahawan tempatan
Festival SeeLokal UiTM Shah Alam perkasa usahawan tempatan

SHAH ALAM, 10 JAN: Festival SeeLokal anjuran pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berperanan memperkasa usahawan tempatan.

Pengarah Projek, Nursarah Yasmin Zakuan berkata festival itu menghimpunkan hampir 30 usahawan jenama tempatan melibatkan produk makanan, minuman dan pakaian.

Pengarah Projek Seelokal Fest Nursarah Yasmin Zakuan ketika ditemui media selangor pada SeeLokal Fest anjuran pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, UiTM Shah Alam di Plaza Laman Budaya Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Festival ini merupakan projek tahun akhir yang dirancang sejak Oktober tahun lalu. Sebelum ini, kita adakan program larian yang juga merupakan sebahagian pemarkahan.

“Tujuan kita adakan adalah mahu memperkasa sektor keusahawanan sekali gus menaikkan jenama tempatan supaya lebih dikenali selain membantu meningkatan jualan produk.

“Selain jualan, kita juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung antaranya pertandingan mewarna, bicara usahawan dan perlawanan permainan tradisional,” katanya kepada Media Selangor.

Suasana sekitar SeeLokal Fest anjuran pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, UiTM Shah Alam di Plaza Laman Budaya Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Terdahulu, festival SeeLokal di Plaza Laman Budaya, Shah Alam berlangsung selama dua hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Program ini turut mendapat kerjasama beberapa agensi termasuk JomHavoc dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pengasas Matcha Crush, Anis Adibah Mohd Afifuddin, 24, berkata festival itu membantu memperkenalkan jenama perniagaan yang diusahakan bersama dua rakan lagi ke tahap lebih tinggi.

Anis Adibah Mohd Afifuddin,24 ketika ditemui media selangor pada SeeLokal Fest anjuran pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, UiTM Shah Alam di Plaza Laman Budaya Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Perniagaan ini diusahakan susulan kami bertiga gemarkan minuman matcha tahun lalu. Sebelum memulakan, beberapa jenis matcha telah dicuba bagi memastikan produk berkualiti.

“Alhamdulillah, perniagaan bertambah baik dengan bantuan pelbagai pihak dan kini kami cuba meluaskan pasaran dengan merancang mengambil tempahan majlis selain sertai program atau festival seperti ini,” ujarnya.

Sebahagian cenderahati yang terdapat pada SeeLokal Fest anjuran pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, UiTM Shah Alam di Plaza Laman Budaya Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR