Bazar Ramadan: MBPJ tegas tangani kes jual tapak, MDSB saran mohon dalam talian

10 Jan 2026, 5:00 AM
Bazar Ramadan: MBPJ tegas tangani kes jual tapak, MDSB saran mohon dalam talian
Bazar Ramadan: MBPJ tegas tangani kes jual tapak, MDSB saran mohon dalam talian
Bazar Ramadan: MBPJ tegas tangani kes jual tapak, MDSB saran mohon dalam talian
Bazar Ramadan: MBPJ tegas tangani kes jual tapak, MDSB saran mohon dalam talian

SHAH ALAM, 10 JAN: Tindakan tegas tanpa kompromi termasuk pembatalan permit dan sitaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan serta penjualan petak bazar Ramadan secara tidak sah di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pihak berkuasa tempatan itu mengesahkan ada menerima aduan berhubung cubaan penipuan serta penjualan petak bazar Ramadan secara tidak sah di Petaling Jaya.

“Semakan bersepadu bakal dilaksanakan di tapak melibatkan jabatan-jabatan teknikal dan MBPJ tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk pembatalan permit serta sitaan sekiranya aduan tersebut didapati sah,” katanya kepada Media Selangor. 

Jelasnya, sejak 2020, semua permohonan permit bazar Ramadan di kawasan pentadbiran MBPJ dilaksana sepenuhnya secara dalam talian melalui portal rasmi, eLesen MBPJ. 

Katanya, majlis turut menyediakan kaunter bantuan di Lobi Menara MBPJ bagi membantu pemohon yang menghadapi kesukaran, khususnya peniaga warga emas dan mereka yang tidak mempunyai akses internet. 

“Bagi mengelak penglibatan ejen atau orang tengah, MBPJ menetapkan beberapa mekanisme kawalan termasuk keperluan pendaftaran menggunakan nombor kad pengenalan, nombor telefon serta alamat e-mel yang sah.

“Pemohon yang berjaya diwajibkan hadir secara fizikal semasa sesi taklimat dan cabutan undi bazar Ramadan bagi tujuan pengesahan cap jari sekali gus mengelak sebarang penyalahgunaan oleh pihak ketiga,” katanya.

Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) turut menggunakan platform dalam talian sepenuhnya bagi permohonan permit bazar Ramadan dan ekspo raya bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan serta mengelakkan penglibatan orang tengah.

“Setakat ini, MDSB tidak menerima sebarang aduan berkaitan cubaan penipuan atau penjualan petak bazar di kawasan pentadbiran MDSB.

“Namun, MDSB menasihatkan agar peniaga hanya berurusan melalui saluran rasmi MDSB, tidak membuat sebarang bayaran kepada individu tidak dikenali dan segera melaporkan kepada pihak MDSB sekiranya terdapat sebarang cubaan penipuan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengelak penggunaan ejen atau orang tengah dalam proses pendaftaran permit perniagaan bazar Ramadan. 

Sebaliknya, beliau mencadangkan PBT mencontohi MBPJ yang melaksanakan pendaftaran bazar Ramadan secara dalam talian sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan beban kos kepada peniaga.