SHAH ALAM, 10 JAN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.
Menurut hantaran rasmi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, akta yang digubal dan diluluskan di Parlimen pada 3 Disember bertujuan mewujudkan mekanisme khusus bagi menangani kes buli terhadap semua mangsa yang ditakrifkan di bawah akta tersebut.
“Di bawah akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa untuk mengurus dan mengawal selia kes buli di institusi pendidikan atau institusi lain mengikut bidang kuasa masing-masing,” menurut hantaran tersebut.

Hantaran itu turut memaklumkan penubuhan Tribunal Antibuli, sebuah badan kuasi-kehakiman khas untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli.
Tribunal ini juga berkuasa mengeluarkan pampasan atau perintah sewajarnya bagi memastikan keadilan dan pembelaan kepada mangsa buli.


