Seorang maut, tiga selamat pikap dihanyut arus banjir

9 Jan 2026, 6:01 AM
Seorang maut, tiga selamat pikap dihanyut arus banjir

SHAH ALAM, 9 JAN: Seorang lelaki maut, manakala tiga lagi terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus banjir di Kampung Sungai Udin, Tawau, Sabah, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata insiden berlaku ketika sebuah pikap membawa dua motosikal bersama penunggangnya di bahagian belakang, dipercayai cuba melalui jalan raya yang dinaiki air, sebelum dihanyutkan arus deras.

"Dua lelaki berada di dalam kenderaan itu, manakala dua lagi adalah penunggang motosikal yang menumpang di belakang pikap terbabit.

"Tiga lelaki membabitkan dua berusia 27 serta 23 tahun yang berada di dalam pikap itu, dan seorang penunggang motosikal berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa lelaki yang juga penunggang motosikal dalam lingkungan usia 30-an dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.34 malam.

Susulan itu, Jemishin berkata, sepasukan lapan anggota dari BBP Tawau bersama bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Umas digerakkan ke lokasi sejauh 45 kilometer sebelum tiba pada jam 10.47 malam.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancar menggunakan kaedah pencarian di permukaan di sepanjang tebing sungai hingga radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hanyut.

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 7.15 pagi ini oleh seorang pekerja ladang, kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudian dibawa keluar oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya sambil memaklumkan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi.