171 warga asing tanpa permit sah ditahan dalam operasi sekitar Semenyih, Kajang

9 Jan 2026, 2:49 AM
171 warga asing tanpa permit sah ditahan dalam operasi sekitar Semenyih, Kajang

SHAH ALAM, 9 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 171 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan perindustrian dan tapak pembinaan sekitar Selangor kerana disyaki bekerja tanpa permit sah.

Operasi pada 7 Januari itu dilaksanakan di empat premis perindustrian di Semenyih bermula jam 12 tengah hari sebelum diteruskan ke tapak pembinaan di Sungai Long, Kajang.

Jabatan itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan operasi berkenaan dijalankan hasil aduan orang awam serta risikan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.

“Seramai 110 pegawai pelbagai pangkat terlibat dalam operasi ini dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan ke atas 216 individu melibatkan 189 warga asing dan 27 warga tempatan membawa kepada penahanan 171 warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun.

 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 171 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan perindustrian dan tapak pembinaan sekitar Semenyih dan Kajang kerana disyaki bekerja tanpa permit sah pada 7 Januari 2025. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam operasi sama, agensi berkaitan turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan satu saman RM500 terhadap syarikat terlibat atas kesalahan di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 2016 serta Kaedah 17A(2) Akta Kilang dan Jentera 1957.

Selain itu, lima saman turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan. Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, melebihi tempoh atau menyalahgunakan pas lawatan.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya.