Kompleks Asrama Anak Yatim Yide hampir siap, pengambilan pelajar tengah tahun

9 Jan 2026, 3:00 AM
Kompleks Asrama Anak Yatim Yide hampir siap, pengambilan pelajar tengah tahun
Kompleks Asrama Anak Yatim Yide hampir siap, pengambilan pelajar tengah tahun
Kompleks Asrama Anak Yatim Yide hampir siap, pengambilan pelajar tengah tahun

SHAH ALAM, 9 JAN: Pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang berada di fasa akhir dan dijadual siap pada akhir bulan ini.

Pengurus Korporatnya Mohd Akmal Hafsyam Ghazali berkata kompleks asrama berkenaan bakal memulakan pengambilan dan saringan pelajar baharu bermula pertengahan tahun ini.

“Bangunan dan kemudahan di kompleks itu siap pada hujung Januari ini. Manakala bagi saringan pelajar baharu pula kita akan buat pertengahan tahun ini.

“Pelajar akan masuk November tahun ini dan bersekolah pada Januari tahun depan. Secara keseluruhannya, bangunan dan semua kemudahan akan siap pada hujung bulan ini,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Akmal berkata kompleks asrama di atas tanah wakaf seluas 3.47 ekar itu dibina hasil 100 peratus sumbangan orang ramai dengan kos berjumlah RM17 juta.

Lebih istimewa, katanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual merasmikan kompleks anak yatim berkenaan sempena Hari Keputeraan baginda pada Disember depan.

Sebelum ini, YIDE memaklumkan pembinaan kompleks tersebut direka berkonsepkan Islamik kontemporari dan boleh menampung sehingga 108 anak yatim lelaki pada satu-satu masa.

Orang ramai boleh terus menyumbang bagi membantu membiayai pembinaan prasarana, pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim ini yang boleh disalurkan melalui pautan yide.com.my/kompleks-asrama-anak-yatim-pulau-indah-tme/ atau imbas kod QR.

Maklumat akaun adalah Bank Islam (12234010018825), RHB Bank (26262500011439) dan Maybank (562106866637). Maklumat lanjut hubungi Yide di talian 0177569478 atau 0127749452.

Yide merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim dan bantuan musibah kepada masyarakat Islam di Selangor.