Agong zahir nasihat penjawat awam kekal amanah, tolak rasuah, salah guna kuasa

8 Jan 2026, 8:12 AM
Agong zahir nasihat penjawat awam kekal amanah, tolak rasuah, salah guna kuasa
Agong zahir nasihat penjawat awam kekal amanah, tolak rasuah, salah guna kuasa

SHAH ALAM, 8 JAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan penjawat awam mengekalkan integriti dan amanah dalam setiap tanggungjawab demi kepentingan rakyat serta negara.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa penjawat awam merupakan tulang belakang kepada pentadbiran negara yang memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar dan perancangan kerajaan.

“Kepentingan budaya kerja berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan, selain menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan hingga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam,” titah Baginda menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Titah nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Baginda turut berkenan menerima taklimat mengenai isu semasa berkaitan perkhidmatan awam.

Taklimat turut merangkumi usaha memperkasa sistem tadbir urus dan memperkukuh ketelusan dalam pengurusan pentadbiran negara.

Sultan Ibrahim juga menekankan pentingnya penjawat awam mengutamakan kepentingan negara mengatasi segala bentuk kepentingan peribadi atau kumpulan.