ad

Agong dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026

9 Okt 2025, 4:59 AM
Agong dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026
Agong dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dokumen itu dipersembahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya semalam, berkata Belanjawan Kerajaan Madani Keempat itu akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Rang undang-undang itu akan dibahaskan ahli parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan Dewan Rakyat.

- BERNAMA