Bahasa teras pendidikan, roh perkukuh perpaduan

30 Jan 2026, 2:57 AM
Bahasa teras pendidikan, roh perkukuh perpaduan

Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Januari memberikan isyarat jelas - sistem pendidikan baharu negara tidak boleh tersasar daripada landasan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan wajib memartabatkan bahasa Melayu. 

Titah ini bukan sekadar landasan politik, malah jika diteliti dari sudut pandang Islam, ia mempunyai sandaran yang kukuh dalam al-Quran, hadis, dan kaedah Usul al-Fiqh.

Dalam merangka sistem pendidikan, pengiktirafan terhadap bahasa kebangsaan adalah selari dengan fitrah kejadian manusia. 

Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 22:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu..."

Ayat ini menegaskan identiti bangsa dan bahasa adalah ketetapan Ilahi. Bagi Malaysia, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi roh yang menyatukan pelbagai kaum. 

Mengutamakan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan bermaksud kita menghargai 'tanda' yang Allah tetapkan bagi tanah air ini, bagi membina kesatuan di atas kepelbagaian.

Islam amat menekankan kejelasan dalam penyampaian ilmu.

Rasulullah SAW bersabda: "Mudahkanlah dan jangan menyulitkan." (HR Bukhari)

Dalam konteks pendidikan, proses pembelajaran paling berkesan berlaku apabila bahasa yang digunakan difahami secara mendalam oleh jiwa bangsa tersebut.

Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu memastikan pengetahuan tidak bersifat eksklusif atau hanya milik golongan elit yang mahir bahasa asing. 

Apabila sistem pendidikan baharu menggunakan bahasa kebangsaan sebagai teras, ia memudahkan proses tafaqquh (pemahaman mendalam) dalam kalangan pelajar, selaras dengan kaedah pengajaran Nabi SAW yang sentiasa menyesuaikan bicara dengan tahap kefahaman kaumnya.

Jati diri

Dalam ilmu Usul al-Fiqh, terdapat kaedah yang disebut sebagai Sadd al-Zara’i (menutup jalan yang membawa kepada kerosakan). 

Jika sistem pendidikan kita membiarkan bahasa Melayu terpinggir, ia akan membawa kepada 'kerosakan' jati diri nasional dan keretakan perpaduan.

Apabila Agong menitahkan agar dasar kebangsaan diutamakan, ia adalah langkah pencegahan agar generasi akan datang tidak menjadi 'asing' di tanah air sendiri. 

Mengabaikan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan baharu boleh dianggap sebagai membuka pintu kepada hilangnya kedaulatan budaya dan pemikiran.

Selain itu, kaedah Al-Maslahah al-Mursalah (kepentingan awam yang tidak dinyatakan secara spesifik oleh dalil tetapi selari dengan tujuan syarak) menyokong penggunaan satu bahasa pengantar utama. 

Maslahah (kebaikan) yang diperoleh merangkumi keadilan sosial - semua rakyat mempunyai peluang yang sama dalam sistem pendidikan tanpa jurang bahasa dan perpaduan, iaitu membina satu pemikiran (common sense) melalui bahasa yang sama.

Dalam Maqasid al-Syariah, menjaga keturunan dan maruah bangsa boleh diletakkan di bawah kategori Hifz al-Nafs (menjaga jiwa) dan Hifz al-Nasl (menjaga keturunan). Bangsa yang kehilangan bahasanya adalah bangsa yang 'mati' jiwanya.

Sistem pendidikan baharu yang diusulkan oleh kerajaan harus memastikan kurikulum sains, teknologi, dan matematik tidak meminggirkan istilah dan pengantar bahasa Melayu. Ini adalah amanah untuk memelihara kemuliaan bangsa. 

Sejarah membuktikan kegemilangan Islam di Baghdad dan Andalusia dicapai apabila ilmu asing diterjemah dan dikuasai dalam bahasa umat itu sendiri, bukan dengan mengekor bahasa penjajah semata-mata.

Titah Agong pada 19 Januari adalah arahan daripada ulul amri yang wajar ditaati selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Apatah lagi, di sebalik titah tersebut terkandung unsur memartabatkan bahasa yang menjadi simbol penyatuan adalah suatu perkara yang Ma’ruf (baik).

Firman Allah dalam Surah An-Nisa', ayat 59:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu..."

Apabila ketua negara melihat keutamaan bahasa Melayu adalah kunci kestabilan negara, maka menjadi tanggungjawab para penggubal dasar dan pendidik untuk melaksanakannya dengan penuh amanah dan dedikasi.

Sistem pendidikan baharu Malaysia tahun 2026 dan seterusnya tidak boleh berdiri di atas awan yang terpisah daripada bumi realiti. Titah Baginda adalah peringatan tepat pada masanya untuk kembali ke akar umbi.

Dari perspektif Islam, memartabatkan bahasa Melayu dalam pendidikan adalah sebahagian daripada menjaga amanah, membina keadilan, dan memperkukuh persaudaraan. 

Kita mahu melahirkan insan yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi mempunyai sahsiah yang dibentuk oleh bahasa dan budaya kebangsaan yang diredhai Allah.