SHAH ALAM, 8 JAN: Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal menyerahkan tugasnya sebagai Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Kedah kepada SAC Amran Yaakob, hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam majlis yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, lapor Berita Harian.
Nik Ezanee yang berkhidmat selama 16 bulan di Kontinjen Kedah akan meneruskan khidmatnya sebagai Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Selangor di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis (DCP).
Sementara itu, SAC Amran sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Siasatan dan Pendakwaan, AKPS Malaysia.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin serta dihadiri barisan Ketua Jabatan Kontinjen Kedah, Ketua Polis Daerah dan warga IPK Kedah.


