SHAH ALAM, 7 JAN: Seorang lelaki warga tempatan maut ditembak dalam kejadian di Taman Wangsa, Klang, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki menaiki motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima laporan mengenai insiden tembakan berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.
“Setibanya di lokasi, polis menemui mayat mangsa berusia 43 tahun sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaini menambah, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini dinasihatkan hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.


