Perbadanan Wakaf Selangor salur sumbangan baik pulih sekolah

7 Jan 2026, 2:00 PM
Perbadanan Wakaf Selangor salur sumbangan baik pulih sekolah

SHAH ALAM, 7 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus komited memperkasa pendidikan Islam menerusi penyaluran sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM17,000 kepada KAFA Integrasi Al-Awwabin, Bestari Jaya.

PWS memaklumkan sumbangan tersebut disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih bangunan sekolah bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada murid-murid.

“Sumbangan wakaf fisabilillah ini diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif, sekali gus menyokong kelangsungan pendidikan Islam untuk generasi akan datang.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS, Muhammad Suffian Assauri Omar dan diterima oleh Ketua Guru KAFA Integrasi Al-Awwabin,” maklumnya di Facebook.

Program berkenaan turut diisi dengan sesi taklimat wakaf yang bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap peranan wakaf sebagai instrumen penting dalam menyokong pembangunan institusi pendidikan Islam secara berterusan.

Dalam pada itu, PWS merakamkan penghargaan kepada para pewakaf atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda kebajikan pendidikan serta pembangunan ummah melalui wakaf yang berimpak.