Premis proses ayam diserbu, MBDK keluar empat kompaun

7 Jan 2026, 3:52 AM
Premis proses ayam diserbu, MBDK keluar empat kompaun

KLANG, 7 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyerbu sebuah premis memproses ayam di Bandar Sultan Suleiman di sini petang semalam.

Pengarah Pelesenannya, Mohd Izzat Mokhtar berkata serbuan ke atas premis yang terletak di zon industri itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan gangguan daripada orang awam pada Disember lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan membekalkan kira-kira 5,000 ayam ke kawasan Meru dan Kapar serta memiliki dua lesen berkaitan aktiviti perniagaan dijalankan.

“Lesen pertama melibatkan aktiviti menyimpan, memborong dan memberi perkhidmatan penghantaran daging atau ayam.

“Lesen kedua pula berkaitan proses pembungkusan, menyimpan, memborong dan memberi perkhidmatan penghantaran ayam proses," katanya dalam kenyataan.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan empat kompaun terhadap pemilik premis berkenaan. Foto Facebook MBDK

Susulan itu, beliau berkata, tindakan kompaun dikeluarkan terhadap premis berkenaan, termasuk tiga kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 15 Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007 dengan nilai maksimum RM1,000 bagi setiap kesalahan.

"Selain itu, satu lagi kompaun di bawah Seksyen 70, Akta Kerajaan Tempatan 1976 turut dikeluarkan kerana mengalirkan sisa ke dalam longkang yang berpotensi mencemarkan sungai, dengan nilai maksimum RM2,500 tanpa sebarang pengurangan," katanya.

Tambah beliau, premis berkenaan turut dikenakan satu notis pentadbiran pelesenan bagi memastikan pematuhan syarat kebersihan persekitaran premis.

Katanya, sekiranya gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, lesen premis berkenaan boleh dibatalkan.