14 peratus pembuat dasar di Selangor libatkan wanita, jumlah disasar terus meningkat

6 Jan 2026, 1:00 PM
14 peratus pembuat dasar di Selangor libatkan wanita, jumlah disasar terus meningkat

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 14 peratus pembuat dasar di Selangor melibatkan golongan wanita yang berada di pelbagai peringkat dan jabatan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata peratusan itu dijangka terus meningkat, malah ketika ini banyak jawatan penting pentadbiran negeri seperti pegawai daerah, ketua jabatan serta pihak berkuasa tempatan dipimpin wanita.

“Ada di Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang. Jumlah ini akan terus meningkat. Ini juga membuktikan ketrampilan wanita dalam membuat dasar dan juga pelaksanaan.

“Ini dapat bantu pentadbiran dalam sudut pandang yang lebih inklusif. Cuma di sudut politik, hasrat 30 peratus wanita masih belum tercapai,” katanya pad sidang media selepas merasmikan penutupan Sidang Wanita Selangor (Siwanis) hari ini.

Pada 2018, mantan EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud menetapkan kuota 30 peratus penglibatan wanita bagi mencapai kesaksamaan gender.

Jelas nya penyertaan wanita membuat keputusan dapat memperbaiki kedudukan golongan itu dalam sektor ekonomi, sosial dan politik sekali gus memecah stereotaip yang membantutkan keupayaan wanita dalam memainkan peranan utama serta positif dalam kehidupan harian.