SHAH ALAM, 6 JAN: Ahli perwakilan Sidang Wanita Negeri Selangor (SIWANIS) diseru memanfaatkan segala ilmu dan jaringan yang diterima bagi memperkukuh kepimpinan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad berkata perjalanan memperkukuh kepimpinan wanita memerlukan kesungguhan, strategi yang jelas dan keberanian bersuara.
"Terus perkasa segala ilmu diterima dengan terjemahkannya dalam tindakan. Saya yakin, sekiranya wanita diberi ruang dan peluang sewajarnya, perubahan ketara dapat dicapai.
"Wanita mampu membawa perspektif dan pengalaman berbeza yang amat penting dalam menangani isu seperti keterangkuman sosial, tenaga kerja dan produktiviti, keterjaminan makanan, pendidikan inklusif dan kesihatan awam.
"Perwakilan SIWANIS bukan sekadar peserta, tetapi pemimpin masa depan, penggubal dasar dan ejen perubahan yang akan membentuk landskap kepimpinan wanita di Malaysia khususnya di Selangor," ucapnya pada kemuncak Siwanis di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, sidang kohort keempat itu meluluskan usul mewujudkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi khusus untuk manfaat anak kelainan upaya (OKU) dan berkeperluan khas di Selangor.
Dua usul lain turut diluluskan memperkasa aturan kerja fleksibel ke arah peningkatan produktiviti inklusif di Selangor dan memperkukuh infrastruktur ekonomi penjagaan bagi menyokong ‘generasi sandwich’ dan keluarga berpendapatan dua sumber.
Selain itu, pada persidangan itu, Anugerah Perwakilan Terbaik diberikan kepada wakil Tanjong Sepat Kuan Yen Hong manakala Anugerah Kumpulan Terbaik diberikan kepada Kumpulan Kesihatan Awam dan Ekonomi Penjagaan.
SIWANIS merupakan program simulasi Sidang DNS yang menghimpunkan wanita dalam satu platform bagi mengasah keupayaan kepimpinan serta mencungkil bakat wanita, khususnya dalam proses pembuatan dasar.
Dianjurkan sejak 2023, SIWANIS menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, sekali gus memperluas penglibatan golongan itu dalam kepimpinan politik dan meningkatkan kepekaan terhadap keperluan pengetahuan semasa.



