Perwakilan SIWANIS disaran mendalami isu dibentang, sertakan fakta dan data kajian

6 Jan 2026, 8:53 AM
Perwakilan SIWANIS disaran mendalami isu dibentang, sertakan fakta dan data kajian

SHAH ALAM, 6 JAN: Perwakilan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) dinasihatkan membuat rujukan lebih terperinci pada setiap usul bagi memastikan perbahasan seiring dengan situasi semasa.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku yang mewakili Kerajaan Negeri berkata hujahan perwakilan perlu lengkap dengan data dan fakta termasuk tempoh kajian selain bahan rujukan harus bersandarkan kajian dalam negara.

“Saya lihat ada yang merujuk kajian negara luar. Ia seharusnya merujuk khas kepada dalam negara seperti bahagian statistik Jabatan Perangkaaan Malaysia (DOSM). Saya galakkan lepas ini yang berkhidmat (perwakilan) merujuk kepada kajian dikeluarkan negara.

“Dalam masa sama, hujahan juga kurang konsep penyampaian cerita. Sebagai wakil rakyat, elemen ini penting untuk berkomunikasi dengan masyarakat dan agensi. Ini cara bercerita paling berkesan.

“Jika mahu menjadi wakil rakyat, marilah kita lebih mendalami isu yang dibentang atau dibahaskan dan selalu berusaha untuk kaitkan semula dengan masyarakat,” kata Lim Yi Wei ketika menggulung sesi perbahasan SIWANIS, hari ini.

Terdahulu Ketua Pembangkang SIWANIS, Dr V Punaveswari membawa usul memperkasa aturan kerja fleksibel ke arah peningkatan produktiviti inklusif di Selangor.

Usul dibahaskan kira-kira 18 perwakilan antaranya Norzawani Mohamed Zakaria (Jeram), Lee Chin Yee (Hulu Bernam), Jamaliah Johari (Pandan Indah), Juliana Abu Bakar (Semenyih), P Charaniyaa (Sentosa) dan Kuan Yen Hong (Tanjong Sepat).

SIWANIS merupakan program simulasi Sidang DNS yang menghimpunkan wanita dalam satu platform bagi mengasah keupayaan kepimpinan serta mencungkil bakat wanita, khususnya dalam proses pembuatan dasar.

Dianjurkan sejak 2023, SIWANIS menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, sekali gus memperluas penglibatan golongan itu dalam kepimpinan politik dan meningkatkan kepekaan terhadap keperluan pengetahuan semasa