SIWANIS lulus usul sekolah KAFA Integrasi untuk anak OKU

6 Jan 2026, 5:27 AM
SIWANIS lulus usul sekolah KAFA Integrasi untuk anak OKU

SHAH ALAM, 6 JAN: Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025/2026 meluluskan satu usul bagi mewujudkan sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi khusus untuk manfaat anak-anak orang kurang upaya (OKU) dan berkeperluan khas.

Usul tersebut dibentangkan Menteri Besar SIWANIS, Siti Nur Aishah Mohd Zain dan diluluskan Timbalan Speaker, Mohd Kamri Kamaruddin selepas menerima sokongan majoriti perwakilan.

Siti Nur Aishah berkata, usul itu dikemukakan susulan peningkatan jumlah anak-anak OKU dan berkeperluan khas di Selangor yang memerlukan perhatian khusus dalam aspek pembelajaran, termasuk pendidikan agama di peringkat awal.

Katanya, cadangan penubuhan sekolah agama integrasi khusus untuk golongan berkenaan memberi peluang kepada mereka menerima pendidikan lebih tersusun dan berkesan melalui pelaksanaan secara berperingkat.

“Selangor menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) giat memperjuang hak golongan ini, namun aspek pendidikan agama juga wajar diberi perhatian memandangkan bidang agama berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Dengan kewujudan sekolah KAFA ini, pendidikan agama golongan ini dapat dipacu dengan lebih positif dan Selangor menjadi model contoh dalam mengangkat hak-hak mereka,” katanya pada Sidang SIWANIS di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Ahli Perwakilan SIWANIS Sungai Air Tawar, Nor'in Udin membentangkan cadangan pada program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) di Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR.

Sementara itu, Ahli Perwakilan SIWANIS Sungai Air Tawar, Nor’in Udin berkata penubuhan sekolah tersebut membolehkan anak-anak istimewa menerima pembelajaran agama yang bersesuaian sambil membentuk jati diri lebih baik.

“YANIS memperkasa bantuan OKU tanpa peringkat umur melalui pelbagai program termasuk pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan keupayaan berdikari bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan.

“Dengan adanya sekolah KAFA ini, anak-anak OKU mendapat hak sama dalam pendidikan agama berkualiti selaras dengan prinsip keadilan sosial yang diperjuangkan Kerajaan Negeri,” katanya.

SIWANIS merupakan program simulasi Sidang DNS yang menghimpunkan wanita dalam satu platform bagi mengasah keupayaan kepimpinan serta mencungkil bakat wanita, khususnya dalam proses pembuatan dasar.

Dianjurkan sejak 2023, SIWANIS menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, sekali gus memperluas penglibatan golongan itu dalam kepimpinan politik dan meningkatkan kepekaan terhadap keperluan pengetahuan semasa.