SHAH ALAM, 6 JAN: Pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu semalam, disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 32 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mulai Januari 2025.
“Lelaki berkenaan dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital sama akibat patah tangan kanan dan luka di beberapa bahagian badan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menafikan lelaki tersebut meninggal dunia seperti di tular media sosial dan sebaliknya dia masih mendapat rawatan lanjut di HSNZ.
“Dia sedang dirawat dan perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan tangan yang teruk," katanya.
Azli berkata siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit sempat menceroboh sebuah kenderaan jenis Honda City yang parkir di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai RM200.
Katanya, lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam Honda Jazz dan memecut kenderaan itu sebelum berlaku kemalangan di lampu isyarat Jalan Kemajuan.
"Semakan oleh JPJ mendapati kereta Honda Jazz dipandu suspek adalah milik adiknya, bukan kenderaan curi seperti yang didakwa dan ditularkan oleh pelbagai pihak menerusi media sosial," katanya.
Sehubungan itu, Azli mengingatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran maklumat tidak sahih bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan suspek, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta telus.
"Suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 apabila selesai menjalani pembedahan dan benar-benar sihat," katanya.
Dalam kejadian pada 1.55 tengahari semalam, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil di sini, ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau sebelum dirempuh Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan penuntut semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di UniSZA itu meninggal dunia di lokasi kejadian.


