SHAH ALAM, 6 JAN: Pembayar cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berpeluang memenangi sebuah Kereta Elektrik (EV) jika menyertai Cabutan Bertuah MPAJ 2026, menerusi kempen Jom Bayar Cukai Taksiran MPAJ.
MPAJ memaklumkan, penyertaan terbuka kepada mereka yang membayar cukai taksiran setahun bagi penggal satu dan penggal dua tahun 2026 serta tidak mempunyai sebarang tunggakan.
"Bayaran perlu diselesaikan sebelum 28 Februari 2026," menurut MPAJ di Facebook.
Penyertaan boleh dibuat dengan memuat turun dan mendaftar aplikasi iCOMM MPAJ.
Selain hadiah utama Kereta Elektrik (EV), hadiah lain ditawarkan termasuk mesin pengering baju, kerusi urut kesihatan, motosikal skuter, kamera digital, basikal lipat, peranti pintar dan komputer riba.
Maklumat lanjut berhubung syarat penyertaan dan kempen boleh dirujuk melalui laman web rasmi www.mpaj.gov.my.



