SHAH ALAM, 5 JAN: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 akan dikreditkan ke dalam MyKad lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada 9 Februari depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban rakyat membuat persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
"SARA untuk semua rakyat akan dikreditkan pada 9 Februari 2026. Ini dengan maksud bagi persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina," katanya pada perhimpunan bulanan di Putrajaya hari ini.
SARA ialah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia bermula 31 Ogos tahun lalu, tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan lebih 70 peratus peruntukan SARA dibelanjakan, manakala baki yang tidak digunakan menjelang Disember 2025 akan diagih semula untuk program rakyat susah.
Pada masa sama, perdana menteri memberitahu lebih 10,000 penjaja dan peniaga kecil akan didaftarkan dalam program SARA bagi memastikan golongan itu turut menerima manfaat sama.
"Tahun ini kita libatkan pendaftaran peniaga kecil dan runcit di kampung. Dijangkakan lebih 10,000 peniaga akan terlibat dalam program SARA untuk terima manfaat," jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Jualan Rahmah Madani akan dimulakan pada 9 Januari di seluruh negara, dengan kekerapan tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
"(Untuk itu), lebih 23,000 jualan akan diadakan di 600 DUN dan 40 lokasi di wilayah dengan jaminan harga barangan asas lebih rendah berbanding pasaran," katanya.



