MPAJ naik taraf medan selera secara berperingkat

5 Jan 2026, 2:29 AM
MPAJ naik taraf medan selera secara berperingkat

SHAH ALAM, 5 JAN: Medan selera di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melalui kerja naik taraf dan pembaikan secara berperingkat bermula tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata sehingga RM10 juta diperuntukkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi menambah baik aspek infrastruktur, kebersihan dan keselamatan di kemudahan berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu tepat pada masanya memandangkan kebanyakan medan selera tersebut dibina lebih dua dekad lalu dan memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia kekal berfungsi serta relevan.

Walaupun mengakui medan selera tidak lagi menjana pulangan kewangan yang tinggi berikutan persaingan daripada kiosk, trak makanan, restoran di pusat beli-belah serta perkhidmatan penghantaran makanan, Hasrolnizam berkata peranannya dari sudut sosial masih signifikan.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari bercakap kepada media selepas majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandanan Ampang Jaya (MPAJ) Penggal 2026-2027 di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 2 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ramai dalam kalangan masyarakat masih bergantung kepada medan selera ini yang mempunyai identiti tersendiri serta berfungsi sebagai tempat makan mampu milik dan ruang berkumpul.

“Kami tidak mahu membiarkan medan selera ini lenyap.

“Ia masih diperlukan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, kerana menawarkan hidangan seimbang dan menjadi tempat komuniti berkumpul,” katanya seperti dilapor StarMetro.

Beliau berkata MPAJ tidak bercadang melaksanakan pembangunan semula berskala besar, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada kerja naik taraf secara bersasar bagi memastikan kemudahan kekal bersih dan selamat.

Menurut Hasrolnizam, antara RM5 juta hingga RM10 juta telah diperuntukkan hasil pengurusan bajet yang lebih cekap sejak tiga tahun lalu, termasuk peruntukan bagi dewan komuniti.

Beliau turut menegaskan MPAJ tidak bercadang menutup medan selera berkenaan kerana ia masih menjadi tumpuan pengunjung serta menyokong kelangsungan peniaga tempatan.

“Kami mengiktiraf bahawa ia masih menarik kehadiran orang ramai dan menyediakan sumber pendapatan kepada peniaga di Ampang Jaya,” katanya sambil memaklumkan MPAJ kini menguruskan sebanyak 15 medan selera.

Medan Selera Lama Taman Melawati dikenal pasti sebagai lokasi pertama yang akan melalui kerja naik taraf.

Selain itu, beberapa lagi medan selera turut disenaraikan untuk dinaik taraf, termasuk yang terletak di Jalan Kolam Air Lama, Lembah Jaya, Pandan Indah dan Teratai.