SHAH ALAM, 5 JAN: Lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerusi penganjuran festival kerjaya dan program padanan pekerjaan yang akan diadakan secara lebih kerap sepanjang tahun ini.
Wakil rakyatnya, Danial Al Rashid Haron berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama syarikat dan kilang di kawasan Batu Tiga, selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut beliau, usaha tersebut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan kebajikan pekerja.
“Untuk tahun ini, saya ingin memberi tumpuan khusus kepada aspek pekerjaan sebagai asas peningkatan kualiti hidup supaya penduduk tempatan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji dan perlindungan yang sewajarnya.
“Pada masa sama, perhatian juga akan diberi kepada pekerja ekonomi gig untuk memastikan mereka dilindungi di bawah skim Perkeso dan mempunyai jaminan kebajikan yang lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.
Selain aspek pekerjaan, Danial berkata tumpuan turut diberikan kepada masa depan pendidikan golongan muda, khususnya memastikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terhenti setakat alam persekolahan sahaja.
“Kita akan berusaha membantu mereka mendapat laluan untuk melanjutkan pengajian, sama ada melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kolej, universiti atau program latihan kemahiran yang bersesuaian dengan minat dan keperluan pasaran kerja.
“Insya-Allah, dengan pendekatan menyeluruh ini, kita mahu memastikan pembangunan di DUN Batu Tiga bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi turut memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.








