SEKINCHAN, 4 JAN: Pekan Sekinchan di daerah Sabak Bernam terus menjadi tumpuan pelancong yang mendambakan percutian santai dengan suasana desa menenangkan.
Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur, kawasan ini terkenal dengan pemandangan sawah padi luas terbentang serta hasil pertanian dan perikanan.
Pelancong tempatan, Rosminiliana Azemi, 42, dari Shah Alam, menyifatkan Sekinchan memiliki daya tarikan tersendiri selain pelbagai tempat menarik dan aktiviti dapat dilakukan sepanjang musim cuti persekolahan.
“Sebenarnya cuti sekolah ini kami balik kampung di Taiping. Jadi apabila mahu pulang ke Shah Alam, kami singgah Sekinchan dan menginap satu malam di sini.

“Sekinchan ini memang selalu kami singgah. Ada banyak tempat menarik, selesa di Sekinchan. Perbelanjaan pun tidak terlalu tinggi di sini,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi Mazlan Ismail, 45, dari Batang Kali, beliau teruja apabila dapat membawa keluarganya bercuti ke jelapang padi Selangor itu.
Menurutnya, jarak pemanduan yang tidak terlalu jauh dan tiada kesesakan lalu lintas juga menyebabkan keluarganya memilih Sekinchan sebagai destinasi percutian akhir tahun.
“Hari ini pertama kali datang ke Sekinchan bawa anak-anak berjalan. Kami mahu melawat semua tempat yang menarik di sini seperti sawah padi, ladang tebu dan macam-macam.

“Sudah tiga bulan kami rancang ke sini. Di sini tidak jem dan tidak jauh dari Batang Kali. Kita jalan terus di sini. Kami ambil homestay dua hari di sini,” katanya yang bekerja sebagai polis bantuan.
Sementara itu, peniaga makanan, Noridah Zaini, 54, menganggap limpahan pengunjung pada musim cuti persekolahan sebagai rezeki dan rahmat buat dirinya serta keluarga.
“Ramai datang, alhamdulillah. Perniagaan okay tapi hari biasa kurang sedikit. Kalau Sabtu dan Ahad memang ramai, sebab cuti sekolah juga.
“Banyak beza pendapatan saya. Kalau cuti sekolah dapat RM1,000 sehari, hari biasa ratus sahaja. Tengok rezeki kita,” katanya yang berniaga di Terminal Sekinchan sejak dua tahun lalu.

Peniaga sambilan, Mohd Shahrizal Shukor, 37, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyediakan lebih banyak kemudahan berniaga yang selesa dan strategik kepada usahawan tempatan.
Menurutnya, ramai anak tempatan enggan melepaskan peluang berniaga berikutan Sekinchan kini mula mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara.
“Cadangan saya, bantulah peniaga di kampung ini. Bantu anak kampung agar kos perniagaan tidak membebankan. Kalau boleh bagi peluang kepada usahawan baharu untuk mula berniaga,” katanya.

Sekinchan yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) dari Kuala Lumpur, terkenal dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang selain memiliki pelbagai hasil pertanian dan perikanan.
Pada 2016, Sekinchan dipilih sebagai lokasi penggambaran bagi drama romantik Hong Kong berjudul Outbound Love, sehingga meraih perhatian antarabangsa dan tular di media sosial.







