Kereta terjunam dalam parit, dua beradik maut

4 Jan 2026, 2:16 AM
Kereta terjunam dalam parit, dua beradik maut

SHAH ALAM, 4 JAN: Selepas abang, adik disahkan maut dalam nahas kereta terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Bendang, Parit 4, Sungai Besar semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu mengorbankan Muhammad Daniel Asyrafi Iqbal Omar, 20, dan adik tirinya, Muhammad Naufal Iqram Iskandar, 15, selepas kereta Proton Wira dipandu dipercayai hilang kawalan.

Bapa mereka, Iskandar Dahlan, 42, berkata beliau mengetahui insiden itu selepas Muhammad Daniel sempat menghubungi ibunya, Nazirah Salim Chia, 39, memaklumkan mereka terjatuh ke dalam parit.

“Isteri saya jadi tidak keruan sebelum talian terputus. Saya hubungi pula Muhammad Naufal yang hanya sempat berkata ‘Tolong Abi’ dua kali sebelum talian terhenti,” katanya, lapor Berita Harian.

Menurutnya, pencarian bermula selepas seorang ahli keluarga menggunakan penjejak lokasi masa sebenar (live location) yang kebetulan masih aktif di telefon Muhammad Daniel sebelum mendapati lokasi terakhir menunjukkan mereka dalam parit.

Beliau dan tiga rakannya kemudian bergegas ke lokasi dan terjun ke dalam parit untuk mencari kedua-duanya.

“Air dalam dan arus deras menyukarkan pencarian, namun seorang rakan berjaya tarik Muhammad Naufal ke atas,” katanya.

Sebelum kejadian, dua beradik itu membantu mengendalikan katering milik keluarga di Tanjong Karang dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bagan Tunjang, Sabak Bernam.

Iskandar berkata, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang petanda kecuali Muhammad Naufal yang sering tidur di ruang tamu seorang diri sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, Sungai Besar selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, nahas berlaku ketika mangsa dari Sungai Haji Dorani ke Jalan Parit 1 Bagan Terap, Sungai Besar.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212.