Lelaki maut, remaja tidak sedarkan diri kereta terjunam dalam parit

3 Jan 2026, 12:48 PM
Lelaki maut, remaja tidak sedarkan diri kereta terjunam dalam parit

SHAH ALAM, 3 JAN: Seorang maut, seorang lagi tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Bendang, Parit 4, Sungai Besar, Sabak Bernam, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.48 petang.

Menurut beliau, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terbabas sebelum masuk ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

“Mangsa pertama iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya lapor Harian Metro.

Ahmad Mukhlis berkata mangsa kedua, lelaki berusia 20 tahun, ditemui di perangkap sampah pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 7.10 malam,” katanya sambil menambah remaja berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.