SHAH ALAM, 4 JAN: Unit rumah kecemasan dalam kediaman Smart Sewa bakal disediakan sebagai langkah persediaan menghadapi bencana dan situasi kecemasan, kata EXCO perumahan.
Jelas Datuk Borhan Aman Shah, kertas kerja penyediaan unit itu sedang dilakukan bagi memastikan setiap projek perumahan mampu menyediakan kediaman sementara untuk penduduk terjejas termasuk kes pemindahan akibat banjir atau bencana lain.
“Dalam perbincangan lepas, kita (Kerajaan Negeri) menekankan kepentingan menyediakan beberapa unit bagi setiap kawasan untuk kegunaan kecemasan termasuk bantuan sementara bagi mangsa banjir atau pemindahan.
“Insya-Allah kertas kerja ini akan memastikan kita bersedia dari segi peruntukan, logistik dan penyelenggaraan supaya unit-unit ini dapat digunakan dengan segera apabila diperlukan,” katanya.

Tambahnya, tahun ini Selangor turut berjaya merekodkan pembinaan 80,000 unit rumah dan meninggalkan baki kira-kira 120,000 unit yang masih dalam proses pelaksanaan.
Sementara Program Rewang Komuniti Strata dilaksana sepanjang tahun lalu menunjukkan kejayaan dan peruntukan pada tahun 2026 ditingkatkan sebanyak RM2 juta.
“Bajet Program Rewang Komuniti Strata juga telah digandakan berikutan keberhasilan pelaksanaan sebelum ini sebagai usaha kita menyantuni penduduk di kawasan rumah pangsa.
“Tambahan peruntukan ini membolehkan kita memperluaskan lagi capaian Smart Sewa dan menyediakan unit-unit baharu bagi kegunaan sementara dan kecemasan,” katanya.











