SEPANG, 6 OKT: Kira-kira 4,000 unit kediaman disasar disediakan menerusi Skim Smart Sewa menjelang tahun 2027 hingga 2028, maklum Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 1,000 unit rumah telah disediakan di bawah skim berkenaan setakat ini.
“Sekarang kita sudah ada kira-kira 1,000 unit. Jadi saya rasa kita boleh capai antara 3,000 hingga 4,000 unit menjelang 2027 hingga 2028.

“Dari semasa ke semasa, setiap kali siap sahaja projek Rumah Idaman dan Rumah Harapan, bermakna Kerajaan Negeri turut akan menerima tambahan unit untuk program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil, di sini hari ini.
Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang belum berpeluang memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.
Menerusi skim ini, penyewa diberikan tempoh minimum dua tahun, dengan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila mereka menamatkan tempoh penyewaan. Tempoh maksimum pula ialah lima tahun.

Terdahulu, seramai 167 keluarga menerima surat tawaran PPR Ampar Tenang, Dengkil bernilai lebih RM88 juta, sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun penduduk terbabit.
PPR Ampar Tenang membabitkan 404 unit rumah teres satu tingkat berkeluasan 700 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan nilai dianggarkan melebihi RM217,000 seunit.
Projek itu dibangunkan khas bagi menempatkan semula penduduk Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil, yang diisytiharkan tidak lagi selamat diduduki akibat masalah keretakan struktur serius.