SHAH ALAM, 16 OGOS: Penambahan 3,000 unit di bawah Skim Smart Sewa disifatkan langkah strategik untuk membantu golongan penyewa membina kemampuan kewangan sebelum beralih kepada pemilikan rumah.
Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata tempoh penyewaan menerusi skim itu memberi ruang kepada penyewa merancang kewangan dan mempersiapkan diri sebelum membuat komitmen membeli kediaman.

“Langkah ini strategik sebagai permulaan, namun Kerajaan Negeri perlu melihat data permintaan perumahan mengikut lokasi bagi memastikan unit yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Lokasi memainkan peranan sangat penting selepas harga yang ditawarkan kerana ia menentukan akses penduduk kepada pekerjaan, kemudahan awam dan perkhidmatan asas,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, mekanisme simpanan 30 peratus daripada bayaran sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut membantu penyewa membina kemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kewangan, malah mendorong penyewa lebih berdisiplin dalam mengurus aliran tunai sebelum membuat komitmen pembelian rumah.
“Penyewa mempunyai masa untuk merancang kewangan, memperkemas rekod kewangan serta menyelesaikan hutang lain terlebih dahulu sebelum bersedia membuat komitmen pembelian rumah.
“Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kewangan apabila mereka membuat komitmen untuk memiliki rumah kelak selain memastikan kewangan yang lebih stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Mujaheed menggesa masyarakat memanfaatkan inisiatif perumahan di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2), khususnya golongan yang masih belum mempunyai kemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
Kerajaan Negeri sebelum ini menyasarkan peningkatan unit Skim Smart Sewa kepada 3,000 unit menjelang 2030 bagi membantu golongan yang belum layak mendapatkan pembiayaan perumahan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata sebahagian daripada bayaran sewa akan disimpan LPHS dan dipulangkan kepada penyewa sebagai bayaran pendahuluan apabila mereka bersedia membeli rumah.









