EXCO kecam penyalahgunaan AI jana imej lucah, desak tindakan tegas

3 Jan 2026, 1:30 PM
EXCO kecam penyalahgunaan AI jana imej lucah, desak tindakan tegas
EXCO kecam penyalahgunaan AI jana imej lucah, desak tindakan tegas
EXCO kecam penyalahgunaan AI jana imej lucah, desak tindakan tegas
EXCO kecam penyalahgunaan AI jana imej lucah, desak tindakan tegas

SHAH ALAM, 3 JAN: EXCO pembangunan wanita mengecam keras penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa menjana imej lucah termasuk menanggalkan pakaian dan tudung wanita secara digital.

Anfaal Saari menegaskan tindakan itu sebagai perbuatan jijik dan beranggapan tindakan tidak bermaruah itu hanya membawa kepada kerosakan nilai kemanusiaan.

“Jijik. Tak beradab. Tak bermaruah. AI sekarang digunakan untuk menelanjangkan orang yang menjaga maruah. Ini bukan kebebasan bersuara, tetapi satu bentuk serangan seksual digital,” katanya menerusi laman X.

Kecaman itu dibuat susulan laporan media yang mendedahkan penggunaan chatbot kecerdasan buatan milik Elon Musk, Grok, di platform X berkemampuan memadam pakaian atau tudung wanita daripada gambar yang dimuat naik tanpa keizinan mangsa.

Dalam beberapa kes, imej wanita bertudung turut diubah sehingga kelihatan tanpa penutup kepala selepas pengguna memberi arahan khusus kepada chatbot itu.

The New Straits Times melaporkan, peguam Azira Aziz menggesa mangsa di Malaysia membuat laporan segera terhadap kandungan berkenaan kepada pihak X sebagai langkah awal.

Beliau turut menasihatkan mangsa supaya mendokumentasikan penyalahgunaan tersebut dengan mengumpulkan tangkap layar serta pautan berkaitan ke dalam satu fail PDF.

Dokumen berkenaan boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal dalam talian.

Azira turut menggesa mangsa membuat laporan polis dan melampirkan dokumen berkenaan sebagai bahan sokongan siasatan.