SHAH ALAM, 12 NOV: Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) sering menimbulkan perdebatan mengenai peranannya terhadap masa depan pekerjaan dan kreativiti manusia.
Namun bagi Pengarang Kanan Media Selangor, Mohamad Khairulnizam Bakeri, masyarakat tidak perlu gusar dengan kewujudan teknologi tersebut.
Beliau menegaskan bahawa AI bukan ancaman, sebaliknya peluang untuk memperkasa potensi manusia dalam era digital masa kini.
“AI bukan ancaman, masyarakat tidak perlu takut, sebaliknya perlu belajar hidup dengan AI,” katanya ketika ditemui dalam program Bengkel Media Sosial: Memaksimumkan Media Sosial - Trend, Keselamatan & Penggunaan Beretika di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang semalam.

Menurut beliau, persepsi bahawa AI akan menggantikan manusia adalah tidak tepat dan terlalu dibesar-besarkan.
“Ramai melihat AI seolah-olah mampu menggantikan manusia namun perkara itu tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya bukan dalam jangka hayat kita,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemajuan AI membuka ruang baharu dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
“Dengan kemajuan teknologi, AI dapat menambah potensi sebagai manusia,” ujarnya sambil menegaskan bahawa setiap teknologi tetap mempunyai risiko jika disalah guna.
Mengulas dalam konteks industri kreatif, beliau mengakui penggunaan AI boleh memberi kesan terhadap keupayaan berfikir secara kreatif sekiranya digunakan sepenuhnya bagi menggantikan proses manual manusia.
“Sekiranya AI digunakan untuk menggantikan proses kreatif yang dilakukan secara manual oleh manusia, ia akan mempengaruhi kemampuan berfikir secara kreatif,” jelasnya.
Namun menurut beliau, teknologi itu sebenarnya berperanan besar dalam mempertingkat tugasan harian serta membuka lebih banyak ruang untuk manusia memberi tumpuan kepada kerja yang memerlukan daya cipta lebih tinggi.

“AI membantu memperbaiki tugasan harian dan meningkatkan kreativiti kerana ia menjimatkan masa untuk melaksanakan rutin harian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Khairulnizam menegaskan bahawa walaupun AI terus berkembang, ia masih mempunyai batasan tersendiri.
“Walau secanggih mana pun teknologi AI dalam membantu kehidupan manusia, ia tetap tidak mampu menggantikan sisi kemanusiaan dalam karya kreatif mahupun kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa berkata penganjuran program berasaskan teknologi seperti itu membantu mengukuhkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi.
“Program ini dapat mengukuhkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi di Selangor dan dilaksanakan dengan baik serta sesuai untuk golongan muda,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan berjaya menarik penyertaan hampir 100 penuntut, mencapai sasaran yang membanggakan buat Media Selangor.
“AI sangat bagus, bukan untuk menggantikan manusia tetapi membantu kita dalam memberi idea baharu. Jangan takut untuk menerokai potensi teknologi ini,” ujarnya.









