SHAH ALAM, 3 JAN: Polis sedang mengesan individu yang terlibat membaling batu dari atas jambatan Seri Cheeding di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) hingga menyebabkan kerosakan kepada sebuah kenderaan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.22 petang semalam daripada petugas yang menjalankan rutin rondaan di WCE.
Beliau berkata pengadu berusia 32 tahun itu menerima maklumat daripada Selangor WCE Patrol dan kejadian itu menyebabkan kerosakan pada kenderaan namun tiada kecederaan dialami pengguna lebuh raya terbabit.
“Tujuan pengadu membuat laporan adalah untuk memohon agar pihak polis membuat kekerapan rondaan di kawasan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Akmalrizal meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menggesa individu yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berdekatan atau hubungi bilik gerakan di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan sebuah kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian cermin dan bonet hadapan dipercayai berpunca daripada batu yang dibaling individu tidak dikenal pasti ketika melalui lebuh raya WCE.
Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata dua lelaki tempatan direman lima hari hingga 6 Januari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Pekan Baru, Taman Eng Ann, Klang, awal pagi semalam.
“Polis menerima laporan mengenai satu kejadian pecah rumah pada 3.15 pagi daripada seorang wanita mendakwa terdengar bunyi mencurigakan sebelum melihat pintu pagar rumah jirannya dipecah masuk.
“Susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota diarahkan ke lokasi dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda atau sehingga 14 tahun serta sebatan bagi sabitan kali kedua jika sabit kesalahan.
- BERNAMA




