Dendam terhadap bekas kekasih punca suspek hasilkan bahan letupan buatan sendiri

3 Jan 2026, 7:49 AM
Dendam terhadap bekas kekasih punca suspek hasilkan bahan letupan buatan sendiri

SHAH ALAM, 3 JAN: Suspek utama yang dikaitkan dengan kejadian letupan membabitkan bahan letupan buatan sendiri (IED) 22 Disember lalu dipercayai menghasilkan peranti berkenaan akibat perasaan dendam terhadap bekas teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, soal siasat awal mendapati warga emas itu menyimpan dendam selepas hubungan mereka berakhir lima tahun lalu.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut memandangkan keadaan kesihatan suspek tidak mengizinkan. Namun, keadaannya kini stabil dan masih menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut beliau, suspek mengaku menghasilkan IED berkenaan kerana perasaan dendam terhadap bekas teman wanitanya, namun keterangan yang diberikan tidak konsisten berikutan faktor kesihatan serta kesukaran memperoleh beberapa elemen siasatan lain.

“Bagaimanapun, keterangan saksi iaitu jiran kepada suspek memaklumkan warga emas itu sememangnya mengalami kemurungan sejak berpisah dengan teman wanitanya dan sering bercerita mengenainya.

“Keterangan saksi ini menguatkan pengakuan suspek mengenai motif dendam terhadap bekas kekasihnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak polis memohon perintah sambung reman bagi melengkapkan siasatan sebelum kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.

“Permohonan sambung reman dibacakan di hadapan Majistret Sara Afiqah Zulkipli di Wad 3B, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), hari ini, dan dibenarkan selama tujuh hari bermula esok hingga 10 Januari ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada 29 Disember lalu, suspek berusia 62 tahun ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan berhampiran Batang Benar, Nilai, pada 27 Disember.

Suspek dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak kejadian letupan sebelum ditemui orang awam yang sedang mencari hasil hutan.

Penahanan suspek turut membawa kepada penemuan sebuah motosikal serta beberapa lagi peranti IED yang disimpan bersamanya.

Dalam kejadian pada 22 Disember lalu, satu letupan dilaporkan berlaku di dalam sebuah kereta ketika suspek dipercayai sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.